Saturday, November 14, 2020

Kelebihan Selawat al-‘Azhimiyyah

 


Telah diceritakan di dalam sebuah riwayat: Seorang anak murid asy-Syaikh Ahmad ibn Idris telah meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah dan telah dikebumikan di perkuburan al-Ma‘lÁ (yang juga disebut sebagai al-Mu‘allÁ). Seorang ahli kasyaf daripada kalangan sahabat-sahabat si mati berada di situ sewaktu si mati sedang dikebumikan, dan telah memerhatikan beberapa perkara yang sedang berlaku di alam ghaib. Dia telah melihat seorang malaikat turun ke bumi membawa satu hamparan indah dari syurga dan satu lampu yang sangat terang benderang. Kubur si mati itu telah diluaskan sejauh mata memandang dan hamparan itu telah diberikan kepada si mati dan lampu yang terang benderang itu pula telah didirikan di sisinya..

Maka si ahli kasyaf itu telah berkata-kata kepada dirinya sendiri, “Apakah sebabnya si mati ini mendapat penghormatan yang sebegitu besar sehingga disuruh malaikat ini turun?” Maka telah dikatakan kepada si ahli kasyaf itu, “Sesiapa pun di antara engkau sekelian boleh menerima penghormatan seperti ini dengan mengamalkan Selawat  al-‘Azhimiyyah yang telah diajarkan oleh asy Syaikh Ahmad ibn IdrÏs.” Telah berkata asy-Syaikh Muhammad ibn Ahmad ad-Dandarawi mengenai kelebihan selawat ini: Hendaklah engkau sekelian menghafalkan selawat yang mulia ini sebagaimana engkau sekelian menghafalkan Surah al-Fatihah. Sesungguhnya, bagi sesiapa yang menghafalkannya, apabila dia mati, akan diluaskan kuburnya seluas jarak di antara langit dan bumi [sejauh perjalanan] lima ratus tahun. Dan akan dibentangkan di sisinya permaidani-permaidani dari syurga, dan diterangkan kuburnya hingga ke Hari Kiamat.

Telah berkata pula Mawlay al-‘ArabÏ ad-DarqawÏ di dalam kitab ar Rasa’il ad-Darqawiyyah :

 



Aku menasihatimu agar mendekatlah kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan membanyakkan membaca selawat dan salam ke atas baginda, sebagaimana yang telah kami ajarkan beberapa hari dahulu. Pada pendapat kami, hakikat membaca selawat dan salam ke atas baginda hanya akan diperolehi oleh orang yang mengikuti sunnah baginda dan bersifat dengan sifat-sifat baginda. Ramai manusia yang telah membaca selawat ke atas baginda dengan jumlah yang banyak, namun mereka sedang berenang di dalam kegelapan. Ini ialah kerana mereka jahil tentang sunnah baginda. Mereka telah berkecimpung di dalam bidaah. Semoga AllÁh mengurniakan rahmat kepadamu! Berhati-hatilah dengan lubang ini dan jauhilah ia. Semoga AllÁh menyelamatkan kami dan engkau daripada terjatuh ke dalamnya.